Monday, May 16, 2016

Hari kepada guruku

Sejak sebesar tapak, sejak sebelum wujud, diri digelung dalam keguruan.

Mana tidaknya, guru.

Umi dan Ayah bertemu kerana menjadi guru.

Setelah ayah kecundang dalam kejuruteraan, tidak lama hinggap surat di anjung rumah melambai ajak menjadi guru. Di sahutnya dalam keputusan bersama bapanya sendiri yang hampir tidak senyum setelah ayah gagal akedemik di jalan menjurutera di Kuala Lumpur. Hanya terbang ayah dari Timur Semenanjung Tanah Melayu, bersama sepanduk keguruan terpacak dibahu tanggungjawab, buat mendidik, ke bumi Borneo tumpah darahku, Sarawak. Disitu, ditempat yang dijanggal-nya akan bahasa, dihairan-nya akan suasana berjumpa secantik-cantik guru, muda dan manis, bernama umiku. Ayah dan Umi tidak tunggu lama, atas maksud guru jugalah mereka menjadi bercinta, lalu atas sebab yang sama, bernikah.

Wujudnya kujul tubuh yang hebat ini, menulis disini, kerana adanya aliran keguruan dalam darahnya ayah, juga darahnya umi.

Banyak tahun, kulupa untuk berterima kasih tepat pada hari guru. Banyak tahun juga aku tidak merasa kepentingan hari guru, selain kera'ian anak murid mereka. Tapi buat kali ini, setelah disapa pengalaman dan pengajaran yang cukup, gurulah ibu bapa ku, ibu bapaku lah guruku. Malah sebelum ku mampu bertutur apa-apa, lagian menutur perkataan guru tau cikgu, mereka sudahpun guru kepadaku.

Ibu andalah guru pertama anda. Umiku guru pertamaku.

Dan siang nanti, tidak akan kusia-sia satu peluang untuk ku iringi ayah dalam persembahan hari guru di sekolah ayah mengajar. Buat julung kali berganding dengan niat muzik dan hibur, cikgu(baca sebagai: ayah) pasti gembira. Hampir penat selama ini kutidak gembar-gemburkan penglibatan seriusku dalam muzik sebagai kerjaya. Tetapi segalanya seakan bertukar kepada faham bagi ayah dengan bantuan Tuhan.

Meski beliau sangat menginginkan aku untuk menjadi jurutera setelah tamat pengajianku dalam kejuruteraan mekanikal di Jepun tahun lalu, lebih dari itu, yakinlah aku bahawa ayah ingin aku menjadi diriku yang kuingini dan ikhlas dengan minat dan cita-cita sendiri.

Wahai ayah, sesungguhnya segala susah yang kulempar kepadamu, tidak dapatku tarik balik sebaik manapun cubaanku. Hanya esok yang kunanti semenjak tadi, buat kuucap dengan penuh terima kasih kepadamu, dikhalayak murid-muridmu dan rakan gurumu, ucapan yang bakal kumaksudkan sedalam hatiku buat ayah,

Selamat Hari Guru.