Monday, May 16, 2016

Hari kepada guruku

Sejak sebesar tapak, sejak sebelum wujud, diri digelung dalam keguruan.

Mana tidaknya, guru.

Umi dan Ayah bertemu kerana menjadi guru.

Setelah ayah kecundang dalam kejuruteraan, tidak lama hinggap surat di anjung rumah melambai ajak menjadi guru. Di sahutnya dalam keputusan bersama bapanya sendiri yang hampir tidak senyum setelah ayah gagal akedemik di jalan menjurutera di Kuala Lumpur. Hanya terbang ayah dari Timur Semenanjung Tanah Melayu, bersama sepanduk keguruan terpacak dibahu tanggungjawab, buat mendidik, ke bumi Borneo tumpah darahku, Sarawak. Disitu, ditempat yang dijanggal-nya akan bahasa, dihairan-nya akan suasana berjumpa secantik-cantik guru, muda dan manis, bernama umiku. Ayah dan Umi tidak tunggu lama, atas maksud guru jugalah mereka menjadi bercinta, lalu atas sebab yang sama, bernikah.

Wujudnya kujul tubuh yang hebat ini, menulis disini, kerana adanya aliran keguruan dalam darahnya ayah, juga darahnya umi.

Banyak tahun, kulupa untuk berterima kasih tepat pada hari guru. Banyak tahun juga aku tidak merasa kepentingan hari guru, selain kera'ian anak murid mereka. Tapi buat kali ini, setelah disapa pengalaman dan pengajaran yang cukup, gurulah ibu bapa ku, ibu bapaku lah guruku. Malah sebelum ku mampu bertutur apa-apa, lagian menutur perkataan guru tau cikgu, mereka sudahpun guru kepadaku.

Ibu andalah guru pertama anda. Umiku guru pertamaku.

Dan siang nanti, tidak akan kusia-sia satu peluang untuk ku iringi ayah dalam persembahan hari guru di sekolah ayah mengajar. Buat julung kali berganding dengan niat muzik dan hibur, cikgu(baca sebagai: ayah) pasti gembira. Hampir penat selama ini kutidak gembar-gemburkan penglibatan seriusku dalam muzik sebagai kerjaya. Tetapi segalanya seakan bertukar kepada faham bagi ayah dengan bantuan Tuhan.

Meski beliau sangat menginginkan aku untuk menjadi jurutera setelah tamat pengajianku dalam kejuruteraan mekanikal di Jepun tahun lalu, lebih dari itu, yakinlah aku bahawa ayah ingin aku menjadi diriku yang kuingini dan ikhlas dengan minat dan cita-cita sendiri.

Wahai ayah, sesungguhnya segala susah yang kulempar kepadamu, tidak dapatku tarik balik sebaik manapun cubaanku. Hanya esok yang kunanti semenjak tadi, buat kuucap dengan penuh terima kasih kepadamu, dikhalayak murid-muridmu dan rakan gurumu, ucapan yang bakal kumaksudkan sedalam hatiku buat ayah,

Selamat Hari Guru.

Wednesday, December 9, 2015

Penduga garam

Kesempitan dalam dada memberi momentum buat kembali berdentum. Ia cukup saiz membuat kegalauan ini ter-teroka ter-cita. Pelampung gagal menyelamat daya-apung perasaan dilempang laju badai cumbuan rindu, mengakibat tenggelam dalam suatu macam kedalaman. Lebih dulu terasa garam nan padu campur kekacauan, jangan diduga masin memerah muka mencuka-merah! 

Friday, September 25, 2015

Kekasih


Tidakkah kekasih itu hanya untuk dicintai, tanpa sebab. Jatuhku terlalu parah memakan usia buat melupakan sandaranku paling utuh berbentuk insan seumpama gadis dari kurun yang lalu. Rupawannya menyembuh pahit menenggelamkan gusar yang paling dalam. Berdosakah aku untuk tetap mengingatinya disetiap hela nafas dalam kongkongan sunyi. Mengenalimu seumpama suatu ajaib yang tak mungkin terjadi. Meski keajaibaannya diakui, hatiku telah lelah untuk merasakan ianya mungkin terjadi buat kedua kalinya. Tersangat payah hidup mengusung tubuh badan yang mati jiwanya ini. Namun tetap kurasakan tidak melampau kiranya untuk aku memilih untuk memahami erti kasih buat seorang kekasih tidaklah harus senantiasa bersebab. Maka dengan itu, selayaknya untuk aku tetap menganggapmu kekasih hatiku, tanpa perlu kau tahu tanpa perlu sebab dan tanpa perlu balas.

Wednesday, April 8, 2015

Tuesday, February 10, 2015

Capital E


E

I will never cross you out of my life. I think you know me better than anyone else so there is no point pretending that I have forgotten your birthday. Have a good one!

May Allah bless you with success, health, happiness, patience and strength.

Happy birthday E.

Thursday, January 8, 2015

Murka ( Matahari kedua )





tunjukkan satu tanda,
oh matahari kedua,
hiduplah kembali beta,
bisiklah ampun kurnia,

(beta) tiada tampak bernyawa,
(beta) tiada tampak bernyawa,

nan terang lagi bersuluh,
kebetulan ada

nan terang lagi bersuluh,
kebetulan ada

mulut berulam lidah,
tak terkunyah pepatah,
halal segala madah,
kuasa penangan ludah.

beta masih murka.

Tuesday, December 30, 2014

Bikin Lemah Paling Longlai


Nya berbeza bahasa,
Gaya jarinya menari,
Di tinggi perasaan ini,
Luar biasa-biasa.

Kalau tuan tenung matanya,
Bakal kalah segera,
Jatuh ke dasar pukau,
Yang seluas masa.

Bikin lemah,
Paling longlai.

Bunga ini tiada disana,
Nya berduri tiada,
Bukan seperti mawarku dulu,
Yang mencucuk cucuk.

Mungkin daku kumbang,
Disisih Mawar, juga Dahlia,
Yang dua-dua mengecewa.
Namun tak sama,
Dengannya,
Sakura.

Sunday, December 28, 2014

Wahai Bah!


Bah mengerang, manusia memerang,
Kayu berpegang, lemah dan dalam,
Tak kenal ramalan, tak ikut amalan,
Meratakan taman, memanjat teduhan.

Tolong tau lolong,
bahan tau tahan,
jangan disebar,
yang bukan bukan.

Wahai bah, dengari bujuk rayu,
tangis dan seranah.
Perlahankan amarahmu, ya.
Jangan diperkosa segala.

Cukup bah, cukup.
Jangan dikejar yang diatas bukit,
Jangan ditelan di tingkat empat,
Makan hanya selain nyawa.

Kau bakal lenyap, segera,
bakal mengalir ditempatmu,
seperti kehendak tuanmu,
yang jua tuhanku.

Jalan ke Lautan Api


Tunjukkan daku,
Jalan ke lautan api,
Tunjukkan daku,
Yang mana nak ku renangi,

Bawa daku bawa daku,
Burung rajawali,
Bawa daku lempar daku,
Ke tanah tinggi.

Bawak daku bawak daku,
terbang bawak lari,
lontar daku,
lekas pergi.

ditasik chini,
jadi santapan naga-naga,
duhailah,

naga sepertimu,
ada dua dalam sejuta.
tidak kuberlagu,
tanpa undang rasa sengketa.

Tau ke kepulauan peribadi,
Tuk merangkak dipesisiran sunyi,
Tiada yang berbahas, tiada berperi,
Tidak. Bukan disini, bukan disini

Sunday, December 14, 2014

Sepetang Bersama Desak


Tanya.
bakal kau tahu selepasnya.
bagaimana bentuk,
jua rupa,
jangan lari.

kalau kau takut,
diamkan risau mu.
kelak kan datang peluh-peluh,
tidak pada lembut kulit mu.

kulihat ramai,
cukup bercampur dan segala,
sampai tandus akal keliru.
yang mana satukah perasaanku.

tak perlu isytihar,
dunia tak perlu tahu.
guling-bating suasana,
suaka perdana.

tadah mentari.

Rembes Secara Pukal


sesetengah objek tidak mengikut paksi,
bergerak percuma dan segera,
tidak terbang tidak berlari,
cuma menari.

cecair bukan lelendir bukan,
cuma mengalir.

perangkap soal, jerangkap samar,
terpijak bakal,
teriak.

keras tiada kasar tiada,
bersegi ia dipelbagai segi,
dijemput tidak nama disebut.
tiba-tiba tiba.

dan tibai.

Thursday, December 4, 2014

Tamak


Seram bukan. Bila waktu cukup dengki, dengan segala tangguhan, segala silap, segala hampa. Sedetikpun tiada dibonus, untuk kita patah balik menuntut ulangan yang mampu ubah, bagi runut bunyi sumbang irama perjalanan hidup dibaik pulih. Tidak cukup dengan sehela nafas 'okay, mari ambil langkah baru'. Kita tamak, mahu segala pahit lepas padam, lenyap, seakan tiada berlaku. Kerana hidup ini sebatang sungai yang mengalir satu arah satu arus, kita harus bawa kedepan segala 'baik pulih' yang kita mahu.

Monday, November 10, 2014

Cumbu-cumbu bandar Tokyo.


Teringat saat hantuk,
dua biji bebola kaca,
yang retak, sanubari.
yang pecah, tangan kiri.

Lepas sedut setitik,
air terakhir dalam hidup,
yang dapat, angin pahit.
menduga semput mencabar puas.

biji-biji kacang kuda,
dibiji dilaga diusap dikuda,
yang sampai, sementara.
yang tetap, kacang kuda.

Lepas tangan, tangan lepas,
terlepas cuma, habuan kecil.
Lepas sudah, yang sudah lepas,
yang datang jangan ditangkap lepas.



Lipas.

Monday, October 27, 2014

Buana ( Mari Buta Warna )


Buana

Ada makna,
buli hati,
susut kata peduli,

sikit pedih,
sikit sedih,
sikit-sikit saja.

lebih baik, kunci bibir.
daripada, tersuara.

sumbangnya,
tiada peka,
huru dan juga hara.

marilah buta akan warna~
kulit, kan tidak kalis luka~
persetankanlah beza~
mari bezakan hai syaiton.

bumi siapa?
siapa dulu?
dulu apa dan kini pula apa?

usir asap,
tinggal api,
hari-hari,
pagi-pagi,

bagaikan si buntal kembung.

mari buta warna~
sentosa buana~
persetanlah beza~
bezakanlah syaiton.

sentosa buana~
sakinat buana~

Sunday, October 5, 2014

Perjanjian Dengan Malam


Malam,
janjikan gelap yang kuidam,
tiada bercahaya harap,
hindar segala, silau lepas.

Perihal kita duhai malam,
kekal lah diselubung,
dipeluk erat,
olehmu malam.

Rasa malam,
nyanyikanku sunyi,
deriakanku kantuk,
yang menghanyut,
sehingga ke kuala lena,
ditemanimu malam.

Selera malam,
bawakan sajian lupa,
beserta senyum dimuka,

Dan,

Setibanya rambut,
ke empuk kekabu.
Hadamkanku segala,
malapetaka.

Pastikan usiamu,
seusia tidurku,
dan khianatilah aku,
sebelum fajar cemburu.

Malam,
ku hauskan manis,
bukan dari perisa rindu.
Rindu memusuhiku,
jua langkah kananku.

Lekas,
mainkan pita,
yang bagus-bagus.
Wataknya suka,
ceritanya senyuman,
perasanya nyaman.

Kemari, berjanji.

Sementara,
ku lunjurkan kaki,
katil kusenangi,
selimut kusetubuhi,
tubuhku kutiduri.


Selamat malam, malam.

Wednesday, September 17, 2014

Kuasawan Murbawan





badang siasah maharaja,
bau uang sendawanya,
ditikam kanun tiada luka,
malah ketawa hahaha

siapa itu
cuba teka, hahaha

"Ada dua jenis mereka ini:
Kalau kuasawan campur niagawan, dia jadi ahli perniagaan.
Tapi kalau kuasawan yang perjuangkan lapangan hidup bagi kebahagiaan murbawan (rakyat biasa), mereka itu kuasawan yang berjuang.” -A. Samad Said

duduk termenung,
mengira tangga,
tinggikah lagi,
untuk ke sorga dunia,

makan dah sudah,
disuap suap,
terlupa pohon janji,
tiada tersiram lagi

jangan lupa,
dilupa jangan

kuasa dikuda kuda
kedekuk kedekuk kedekuk
jelata diperkuda
kedekuk kedekuk kedekuk

Sunday, August 10, 2014

Madah Diraja


Gelora

buat sebentar nya hilang,
ditelan rasa nya dikandang,
tidak lama nya kembali pulang,

dari mana nya diundang,
tulah bisanya menendang,

kerana pahit nya biasa,
jua dilempar nya muka,
beria tiada serupa lagi,

bagai hasil dikerah lamanya,
tak milik sendiri,
beri pada raja,
tak semena mena

akan semuaaaa, madah nan gelora
tetap maduuuu, rencah delusinya

Friday, August 8, 2014

Doa Buat Gaza




bagaimana tafsir istilah hibur,
bila takut menamani tidur,
kalau celik pun berbalut luka,

sana bertepuk melihat langit,
sini menanggung letup bahana,
mana saksama.

namun kita masih punya,
senjata yang meraka tidak punya,
yang berjenama doa,
doa buat gaza

dentuman bukan lagi bunga api,
darah bukan lagi perkara ngeri,
teman bermain tidur tiada jaga

anak kehilangan ibu,
ibu kehilangan suaminya,
suaminya kehilangan segala.

namun kita masih punya,
senjata yang meraka tidak punya,
yang berjenama doa,
doa buat gaza

selagi kita punya nyawa,
asah tajam, siapkan senjata,
yang berjenama doa,
doa buat gaza.

Sunday, August 3, 2014

Salah


Dilemma(5) waktu,
malas berhantu,
salah payahkah salah,

manusia tak pernah dilupa,
malah manusia melupa diri.

Apapun, durjana menimpa,
jua kan bersimpuh,
menadah meminta.

Namun, lepas sesekali,
derhaka kembali.

Lupa memuji-muji,
kuasa tertinggi,
salah, kan ditanya salah,

kembali, setelah kembali,
ketetapan lari, tiada sesali.

Apapun, dugaan menimpa,
kan tetap bersimpuh,
menadah meminta.

Namun, lepas sesekali,
derhaka kembali.(jangan!)

Tuesday, July 22, 2014

Panggilan Kecemasan


Panggilan kecemasan,
tiada celaka jua kemalangan,
cuma, resahku bergelimpangan.

Takungan kotoran,
mengering, namun tak hilang,

dek kepastian, kuseru oh kesudahan,
angin lalu, tertawakan ku.

Panggilan kecemasan,
Tiada gerangan menghulurkan tangan,
Tuhan, ya kini tinggal Tuhan.

Hati-hati, Jiwa memerangkap lagi,
merasuk dan memerhati.

Hati-hati, kerana tiada hati bagi,
mereka yang tiada hati.




Panggilan Kecemasan ( Doa )